Kenapa semua ini terjadi ?
Mendapat cahaya mata dari baka sendiri cukup membahagiakan si ibu. Demikian juga si ayah. Lebih-lebih lagi saat menunggu kelahiran penyeri rumahtangga ini sudah terlalu lama. Si ibu rasa bangga kerana berjaya memenuhi hasrat suami dan keluarga. Bahkan, si ibu sendiri cukup puas dan bersyukur kepada Ilahi kerana dikurniakan anak yang diimpikannya.
Anak adalah anugerah Ilahi. Rezeki dan kurniaan dari Allah SWT kepada pasangan suami isteri. Semua pasangan secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Sama ada pasangan yang Muslim mahupun bukan Muslim. Oleh itu, ibu bapa Muslim harus tahu menilai kurniaan ini. Anak adalah amanah Allah. Ibu bapa harus tahu hakikat ini. Ini tuntutan Islam. Ibu bapa yang tidak faham dan tidak tahu menilai anugerah ini akan mengabaikan kewajiban mereka. Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak dianggap remeh.
Tidak semua orang yang berkahwin mudah dan cepat menimang cahaya mata. Allah yang menentukan dan mengurniakan amanah ini. Oleh itu, pasangan yang telah diizinkan oleh Allah mendapat anak mesti menjaganya dengan baik. Curahkan kasih sayang dan perhatian yang sebaik dan seimbang mungkin menurut perintah Allah dan didikan Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman, "Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan
(kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (asy-Syura: 49-50).
Oleh itu, kita wajib menyambut anak yang lahir dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang kerana ini nikmat dari Allah SWT. Nikmat yang akan menjadi penyeri rumahtangga. Membahagia dan menyenangkan hati suami. Apatah lagi si isteri. Firman Allah, "Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)". (al-Furqan: 74).
Allah SWT juga ada merakamkan doa hamba-hambanya yang mahukan pewaris perjuangan mereka. Misalnya, doa Nabi Zakaria, "Ya Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau." (ali Imran:
38). "Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Ya'kub." (Maryam: 5-6).
Bahkan, anak yang baik ini akan memberi manfaat kepada ibu bapa apabila kembali kepada Allah. Akhlaq Hussain pernah mengungkapkan, "Anak-anak yang soleh akan menjadi sumber sedekah jariah bagi ibu bapa". Itupun jika anak-anak itu dididik, diasuh dan dijaga diri serta jiwa mereka dengan sempurna hingga menjadi mukmin yang sebenar. Hanya anak soleh yang melayakkan seorang ibu atau ayah memperolehi sedekah jariah di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment